Saturday, January 31, 2009

United calon juara





MANCHESTER - Rio Ferdinand percaya Manchester United mampu untuk mengatasi Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana England musim ini selepas skuad Red Devils itu merampas kembali kedudukan takhta liga.

United mampu menjarakkan lima mata daripada pesaing terdekat mereka, Chelsea dan Liverpool sekiranya berjaya menewaskan Everton di Old Trafford malam ini.

Liverpool yang sekadar mencatat keputusan seri dalam tujuh daripada 10 perlawanan akan menanti kunjungan Chelsea esok.

Justeru, Ferdinand berharap United yang kini mendahului carta liga dengan dua mata dan berkelebihan satu perlawanan akan menjarakkan kedudukan mata bagi merealisasikan impian mencatat kejuaraan kali ketiga berturut-turut.

"Ia akan menjadi mudah apabila kamu memiliki pemain berpengalaman seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes, pemain yang pernah menjuarai liga sebelum ini," kata pertahanan England itu.

Namun, Ferdinand menegaskan, apa yang lebih penting untuk ke arah itu ialah mereka perlu mendapat rentak dan cuba untuk mengekalkannya.

"Jika kamu mendapat momentum dalam beberapa perlawanan terakhir, kamu akan berada dalam kedudukan terbaik untuk terus menyerlah.

"Kami sukakan tekanan beraksi dalam perlawanan besar tetapi ada yang berkata lebih baik jika muncul juara dengan kelebihan 10 atau 20 mata. Ia sukar untuk dilakukan.

"Kamu tidak akan mendapat sesuatu yang mudah dalam hidup tetapi kamu perlu bekerja keras untuk mendapatkannya. Kami tahu tentang itu," jelas Ferdinand. - AFP


1 comment:

ab said...

ala calon je bru...
bkn nyer juara pun....