Thursday, October 9, 2008

Musibah Bukan Makna Kita Dizalimi?

Antara adab ketika ditimpa musibah ialah

· Percaya bahawa Allah Taala tidak sesekali akan menzalimi diri
anda. Jika manusia mahu menerima musibah itu umpama suatu teguran,
dia tidak akan cepat melatah seraya berputus asa. Bahkan dia sanggup
menerimanya umpama satu cambukan yang membangkitkan semangat bagi
memperbaiki diri.

· Meyakini musibah itu menyimpan rahmat besar di sebaliknya.

· Segala sesuatu akibat daripada perbuatan tangan yang zalim.

Apakah dosa kita sehingga harus menerima musibah ini? Soalan
sebegini bukan bermaksud tidak reda dengan ketentuan Allah SWT,
tetapi lebih kepada sikap mencari keaiban diri dan mahu bermuhasabah
untuk lebih mempertingkatkan iman dan amal salih.

Sudah pasti setiap sesuatu menyimpan hikmah di sebaliknya. Terpulang
kepada diri sendiri bertanya, apakah menerima musibah sebagai suatu
peringatan daripada Allah SWT atau langsung membutakan mata dan hati
atas kesilapan yang pernah dilakukan?

Lidah boleh menafikan sekeras-kerasnya, tetapi hati dapat berasa di
manakah salah silapnya. Hanya orang yang kuat imannya yang mampu
menjawab setiap hikmah di sebalik setiap musibah. Tiada manusia yang
lepas dari ujian hatta Nabi dan Rasul.

Bahkan Nabi dan Rasul menerima ujian yang jauh lebih berat dan tidak
mampu dipikul oleh manusia biasa. Bukan bermakna ujian itu
merendahkan iman seseorang, bahkan ia akan melonjakkannya ke tempat
yang paling tinggi.

Berbahagialah orang yang diuji jika mereka reda dan sedikitpun tidak
berubah hati kepada Allah Taala. Kita perlu membuktikan kepada Allah
SWT bahawa diri ini tidak pernah berubah di dalam mencintai-Nya,
biar senang ataupun susah.

No comments: